Saturday, November 6, 2010

GOTONG ROYONG PERDANA 2010

Program Gotong Royong Perdana 2010 Kampung Sungai Udang anjuran Biro Keceriaan dan Kesihatan JKKK Sungai Udang akan diadakan pada 5 Disember 2010.  Program ini akan melibatkan beberapa agensi kerajaan
seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan MPK, Alam Flora, PIBG sekolah-sekolah rendah dan menengah, penduduk-penduduk taman dan NGO.  Satu sesi taklimat dan mesyuarat akan diadakan pada 13 November 2010 bertempat di Balai JKKK Sungai Udang untuk menjayakan program gotong royong.
Semua penduduk yang tinggal di Kampung Sungai Udang disarankan untuk bersama-sama menyertai program tersebut.  Maklumat lanjut mengenai program ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

KEMPEN KESEDARAN AWAM

Taklimat kempen kesedaran awam berkaitan sistem amaran awal tsunami nasional Malaysia (SAATNM) telah diadakan pada 28 Oktober 2010 jam 2.30 petang bertempat di Balai Polis Pelabuhan Klang.  JKKK Sungai Udang telah menghantar 7 orang wakil ke taklimat tersebut yang diketuai oleh Ketua Kampung Sungai Udang Tuan Hj Tumiran bin Hj Basir.  Taklimat ini dianjurkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd.(ATSB).  Sesi demonstrasi siren tsunami turut dilakukan oleh ATSB dan siren ini boleh didengar sehingga 2.5 km jauhnya. Di akhir program penyampaian cenderahati kepada yang hadir diikuti dengan jamuan ringan.

PROGRAM TURUN PADANG YAB DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Program turun padang kerajaan negeri bersama penghulu, ketua kampung dan ahli JKKK Kampung telah diadakan pada 27 Oktober 2010. 2 Program telah diatur: i) Taklimat Dasar dan Peranan JKKK bertempat di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang.  ii) Lawatan Turun Padang YAB Dato' Menteri Besar ke Kampung Sungai Serdang, Kapar. Program Taklimat  telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha SUK dan dihadiri oleh beberapa ADUN seperti YB Teng Chang Khim, YB Dr Hajjah Halimah Ali, YB Dr Abdul Rani b Osman dan YB Suhaimi.  Taklimat ini telah berjalan dengan lancarnya hingga ke tengahari.  Pada sebelah petangnya pula lawatan ke Kampung Sungai Serdang untuk meninjau projek IKS yang telah diusahakan oleh penduduk kampung diantaranya projek ternakan itik dan tanaman cili kulai.