Saturday, November 6, 2010

GOTONG ROYONG PERDANA 2010

Program Gotong Royong Perdana 2010 Kampung Sungai Udang anjuran Biro Keceriaan dan Kesihatan JKKK Sungai Udang akan diadakan pada 5 Disember 2010.  Program ini akan melibatkan beberapa agensi kerajaan
seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan MPK, Alam Flora, PIBG sekolah-sekolah rendah dan menengah, penduduk-penduduk taman dan NGO.  Satu sesi taklimat dan mesyuarat akan diadakan pada 13 November 2010 bertempat di Balai JKKK Sungai Udang untuk menjayakan program gotong royong.
Semua penduduk yang tinggal di Kampung Sungai Udang disarankan untuk bersama-sama menyertai program tersebut.  Maklumat lanjut mengenai program ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

KEMPEN KESEDARAN AWAM

Taklimat kempen kesedaran awam berkaitan sistem amaran awal tsunami nasional Malaysia (SAATNM) telah diadakan pada 28 Oktober 2010 jam 2.30 petang bertempat di Balai Polis Pelabuhan Klang.  JKKK Sungai Udang telah menghantar 7 orang wakil ke taklimat tersebut yang diketuai oleh Ketua Kampung Sungai Udang Tuan Hj Tumiran bin Hj Basir.  Taklimat ini dianjurkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd.(ATSB).  Sesi demonstrasi siren tsunami turut dilakukan oleh ATSB dan siren ini boleh didengar sehingga 2.5 km jauhnya. Di akhir program penyampaian cenderahati kepada yang hadir diikuti dengan jamuan ringan.

PROGRAM TURUN PADANG YAB DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Program turun padang kerajaan negeri bersama penghulu, ketua kampung dan ahli JKKK Kampung telah diadakan pada 27 Oktober 2010. 2 Program telah diatur: i) Taklimat Dasar dan Peranan JKKK bertempat di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang.  ii) Lawatan Turun Padang YAB Dato' Menteri Besar ke Kampung Sungai Serdang, Kapar. Program Taklimat  telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha SUK dan dihadiri oleh beberapa ADUN seperti YB Teng Chang Khim, YB Dr Hajjah Halimah Ali, YB Dr Abdul Rani b Osman dan YB Suhaimi.  Taklimat ini telah berjalan dengan lancarnya hingga ke tengahari.  Pada sebelah petangnya pula lawatan ke Kampung Sungai Serdang untuk meninjau projek IKS yang telah diusahakan oleh penduduk kampung diantaranya projek ternakan itik dan tanaman cili kulai.

Friday, September 24, 2010

KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT YANG DIPERTUA MPK

Satu lawatan Kunjungan Hormat ke Pejabat Yang DiPertua MPK anjuran JKKK Sungai Udang akan diadakan pada 30 September 2010 jam 3.00 petang. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengeratkan dan memesrakan lagi
perhubungan diantara MPK dan JKKK disamping dapat bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran untuk memajukan lagi kariah Sungai Udang.  Adalah dianggarkan 16 ahli JKKK akan menyertai lawatan tersebut yang akan di ketuai oleh Ketua Kampung Sungai Udang, Tuan Haji Tumiran bin Hj Basir.

MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI

Sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Selat Klang akan diadakan pada  hari Ahad 26 September bermula dari jam 2.30 petang sehingga 5.30 petang bertempat di Dewan Serbaguna Teluk Pulai.
Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah YAB Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim, EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Selangor,Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai-pegawai tinggi negeri dan daerah dan ketua-ketua jabatan. Adalah dijangka ribuan hadirin yang akan ke Majlis ini. Majlis ini telah diadakan pada setiap tahun khusus untuk meraikan masyarakat setempat dan  memberi peluang orang ramai berinteraksi dengan para pemimpin kerajaan Negeri Selangor yang prihatin dengan rakyat. 

PROGRAM-PROGRAM JKKK SUNGAI UDANG SEPANJANG RAMADHAN 1431H

Sepanjang Ramadhan 1431H yang lalu banyak program-program yang telah diatur dan dilaksanakan oleh JKKK Sungai Udang yang melibatkan Biro Belia, Biro Kebajikan, Biro Pendidikan dan Dakwah, Biro Hal Ehwal Wanita(HELWA), Biro Pembangunan dan Infrastruktur, Biro Kesihatan & Keceriaan Biro Keselamatan dan Biro Ekonomi.  Berikut adalah program-program yang telah dijalankan:
1. Program Bubur Lambuk - Biro Belia dan Biro Kebajikan.
2. Pembaikpulihan Lorong Wak Pungut - Biro Pembangunan & Infrastruktur
3. Pemotongan Rumput di bahu jalan sepanjang Jalan Sungai Udang - Biro Belia dan Biro Kesihatan.
4. Lawatan Ke Masjid Kampung Tengku, Ptg Jaya bersama anak-anak yatim kariah Sungai Udang.
5. Lawatan dan sumbangan ke beberapa rumah warga emas dan kebajikan anak-anak yatim.
6. Ihya' Ramadhan dan Kembara Amal - Biro Pendidikan dan Dakwah.
7. Sumbangan Kuih Raya kepada ibu-ibu tunggal dan lawatan iftar dan terawih di I-City- Biro HELWA.
8. Bazaar Ramadhan - Biro Keselamatan dan Biro Ekonomi.

MAJLIS MAKAN MALAN - JASAMU DI KENANG

Majlis Makan Malam - Jasamu di Kenang telah diadakan pada hari Selasa 3 Ogos 2010 bertempat di Dewan Serbaguna Teluk Pulai jam 8.00 malam.  Majlis ini diadakan khusus untuk meraikan persaraan mantan Ketua Kampung Sungai Udang Tuan Haji Samsuri bin Haji Othman yang telah bersara pada 30 Mei 2010 yang lalu.
YB Dr Hajjah Halimah Ali ADUN Selat Klang merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor adalah diantara tetamu kehormat yang diundang selain dari  Tuan Pegawai Daerah,Tuan Penghulu Mukim Klang, Ketua-ketua Kampung Sungai Udang, Teluk Gadung dan Kampung Delek. Tuan Nazir Masjid Darul Muttaqin, pengerusi-pengerusi Surau, pengerusi-pengerusi Taman dan NGO turut dijemput.  Acara kemuncak adalah majlis penyerahan tugas mantan ketua kampung dan mantan setiausaha kepada ketua kampung yang baru Tn Hj Tumiran dan setiausaha yang baru Hj Abdul Ghaffar. Majlis berakhir kira-kira jam 11.45 malam. 

Tuesday, July 20, 2010

PROGRAM MESRA RAKYAT-MAJLIS GOTONG ROYONG

PROGRAM MESRA RAKYAT-MAJLIS GOTONG ROYONG

Satu Program Mesra Rakyat iaitu majlis gotong royong pembersiahan kawasan Taman Perumahan Teluk Pulai telah diadakan pada pagi Ahad 20 Jun 2010.  Program ini disertai oleh beberapa orang Ahli Majlis MPK dan JKKK Sungai Udang bersama-sama penduduk Taman.  YB Dr Hajjah Halimah Ali telah membuat ucapan perasmian dan menyampaikan sedikit 'ole-ole' kepada Pengerusi Taman, En. Raymond Loo Hock Chai.  Program ini berakhir sekitar jam 11.30 pagi.

Monday, May 31, 2010

PROGRAM PENDEMOKRASIAN RAKYAT 2010

YAB Dato' Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim telah melancarkan Program Pendemokrasian Rakyat 2010 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK Shah Alam pada 22 Mei 2010 yang lalu.  Program ini antara lain adalah untuk mendaftar pemilih baru yakni individu yang belum mendaftar sebagai pemilih dan lahir sebelum 1 Januari 1990.  Setiap Ketua Kampung disarankan untuk mencapai seramai 100 pemilih baru dalam jangkamasa 8 minggu (bermula 22 Mei hingga 18 Julai 2010).  Fokus utama Program ini diadakan   adalah untuk mendaftar seramai mungkin pengundi2 muda dan sebilangan kecil pengundi dewasa yang belum pernah mendaftar dan mengundi didalam pilihanraya.  Sekiranya terdapat sebarang masalah, sila hubungi Pegawai Sekretariat yang bertugas seperti berikut:

Encik Abdullah              013-3127604
Encil Fadhil Ahmad        013-3127602

Sunday, May 23, 2010

PELANCARAN BIRO AMAR MAARUF NAHI MUNKAR

Biro Amar Maaruf Nahi Munkar Masjid Darul Muttaqin Sungai Udang akan dilancar dan dirasmikan oleh YB Dr Hjh Halimah bt Ali ADUN Selat Klang merangkap EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan pada hari Sabtu 12 Jun 2010 selepas solat isyak.  Program ini diadakan dengan tujuan untuk memaklumkan kepada semua jamaah yang beragama Islam bahawa Biro Amar ini diwujudkan untuk mengajak jamaah kepada perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran.  Adalah diharapkan jamaah dapat memberikan kerjasama  membantu Biro Amar untuk menjayakan salah satu syariat yang dituntut didalam Islam. 

Thursday, May 20, 2010

SAMBUTAN HARI WANITA 2010- WANITA BERILMU GENERASI MAJU

Sambutan Hari Wanita 2010  sempena Hari Ibu dan Hari Guru anjuran bersama Pejabat ADUN Selat Klang dan Biro Wanita JKKK Sg Udang, Teluk Gadung dan Kg Delek akan diadakan pada 22 Mei 2010 dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Teluk Pulai, Sungai Udang. Pelbagai program telah diatur antaranya persembahan kanak2 tadika, penyampaian Anugerah Wanita Berjasa dan Ikon Wanita Dalam Masyarakat.  Terdapat juga pertandingan memasak seperti rendang, puding, kek, pulut kuning, wajik dan sambal kacang. Selebriti yang diundang khas untuk program Talk Show ialah Puan Azean Irdawaty.  Semua wanita dan remaja pelbagai kaum dijemput hadir untuk memeriahkan lagi program ini.

Wednesday, March 10, 2010

KARNIVAL SUNGAI KLANG 2010

Karnival Sungai Klang akan diadakan pada 13 dan 14 Mac 2010 ( Sabtu dan Ahad ) bertempat di Taman Pengkalan Batu, Klang. Pelbagai aktiviti telah diatur untuk disertai oleh masyarakat setempat dan luar. Karnival ini adalah anjuran  Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang, GEC dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.  DYMM Sultan Selangor telah berkenan untuk merasmikan Karnival Sungai 2010. Larian Bandar DiRaja memulakan aktiviti Karnival ini pada 13 Mac. jam 7.30 pagi bermula di Taman Pengkalan Batu dan berakhir juga disini. Jualan, pameran dan pertunjukan belon udara panas akan memeriahkan lagi Karnival ini. Pelbagai persembahan kebudayaan akan dipertontonkan kepada orang ramai dari pagi hingga ke petang.  Pada sebelah malamnya pula Konsert Karnival Sungai Klang akan diadakan. Artis-artis yang akan muncul seperti  Zainal Abidin, Aizat, Pesawat, One Nation Emcee  dan lain-lain. Pada Ahad 14 Mac pula aktiviti dimulakan seawal 8.30 pagi dengan senamrobik oleh GEC. Program River Ranger akan bermula jam 9.30 pagi. JKKK Sungai Udang akan menghantar wakil - RIVER RANGER SUNGAI UDANG untuk menyertai pelbagai pertandingan yang akan diadakanseperti River Hunt, Shopping Game, Handkerchief Coloring dan pertandingan mewarna. Satu demonstrasi dari GEC juga akan dipertontonkan kepada orang ramai mengenai pencemaran air Sungai Klang. Sepanjang hari kiosk jualan dan pameran bolehlah dikunjungi oleh orang ramai untuk membeli belah atau mendapat info lanjut mengenai Karnival ini. Program akan diteruskan dengan persembahan & pertandingan karaoke dan pertandingan kayak Sg Klang.  Karnival ini dijangka tamat pada jam 7.30 petang. DATANGLAH BERAMAI-RAMAI UNTUK MEMERIAHKAN LAGI KARNIVAL SUNGAI KLANG 2010

Tuesday, March 9, 2010

LAGI GAMBAR2 MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT KUASA (WATIKAH)


PENYAMPAIAN SURAT KUASA (WATIKAH) KETUA KAMPUNG NEGERI SELANGOR

Majlis penyampaian surat kuasa (watikah) ketua kampung Negeri Selangor oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim telah diadakan pada 8 Mac 2010 di Stadium Malawati Shah Alam.  Ketua Kampung Sungai Udang Tn Hj Samsuri b Othman adalah salah seorang dari 368 orang ketua kampung pada upacara tersebut.6 orang ahli JKKK Sungai Udang turut bersama meraikan majlis yang bersejarah itu. Pelbagai program telah disediakan bermula dengan jamuan makan tengah hari dan solat zohor. Tepat jam 2.30 petang ketibaan YAB Dato' Menteri Besar diiringi ahli2 EXCO Kerajaan Negeri Selangor.  Tayangan video dokumentari sempena 2 tahun pentadbiran Kerajaan Baru Selangor dipertontonkan kepada para hadirin. Bacaan ikrar dari wakil Ketua Kampung Negeri Selangor Encik Abdul Samat bin Abd Hamid diikuti oleh 367 ketua kampung - ketua kampung yang lain bergema di dalam Stadium Malawati. Majlis diikuti dengan penyampaian surat kuasa (watikah) dan seterusnya sesi bergambar bersama YAB Dato' Menteri Besar Selangor mengikut daerah. Majlis berakhir dengan minum petang dan solat asar.

LAGI GAMBAR-GAMBAR SAMBUTAN MAULIDUR RASUL KARIAH SUNGAI UDANG

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL KARIAH SUNGAI UDANG 1431H/2010M

Sambutan Maulidur Rasul Kariah Sungai Udang Klang 1431H/2010M telah diadakan pada 5 dan 6 Mac 2010.  Program ini telah dirasmikan oleh YB Dr Hjh. Halimah binti Ali, EXCO Pendidikan,Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan merangkap ADUN Selat Klang. Banyak program yang telah diadakan seperti pertandingan hafazan, bercerita, khutbah,solat subuh berjamaah, azan sekolah menengah, menulis khat dan pertandingan nasyid kanak-kanak tadika pada hari Jumaat 5 Mac bermula dari jam 3.00 petang hingga ke malam.  Pada 6 Mac pula dari jam 8.00 pagi perarakan Maulidur Rasul yang di sertai oleh 23 kontinjen dari  kategori tadika2, sekolah rendah dan menengah, surau2 dan NGO2 bermula dari Dataran Surau As-Syukriah Jln Yadi dan berakhir di Perkarangan Masjid Darul Muttaqin. Ianya diikuti pula dengan persembahan Kumpulan Marhaban Pelajar SAM Sultan Hishamuddin, Kampung Jawa Klang.  Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika telah diadakan..YB Dr Hjh  Halimah Ali telah sudi untuk menyampaikan hadiah pertandingan dan cenderamata kepada para pemenang. Pemeriksaan kesihatan percuma dengan petugas-petugas dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah juga dijalankan. Terdapat juga kiosk-kiosk jualan dan pameran di perkarangan Masjid untuk memeriahkan lagi Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Pada jam 3.00 petang  satu ceramah keibubapaan telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Ghazali Omar. Pada sebelah malamnya pula Ceramah Maulidur Rasul telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Abdullah Iraqi, seorang penceramah bebas. Majlis Sambutan Maulidur Rasul diakhiri dengan Selawat keatas Junjungan Rasulullah SAW secara berjamaah. 

MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI 1431H/2010M 26 FEBRUARI 2010

Sunday, March 7, 2010

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI SELANGOR 1431H/2010M

Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor telah diadakan di Bandaraya Shah Alam pada  Jumaat 26 Februari 2010 yang lalu. Masjid Darul Muttaqin Sungai Udang telah menghantar satu kontinjen 45 peserta perarakan yang diketuai oleh Hj Shahrom bin Hj Hashim.  Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim turut menyertai perarakan yang bermula pada jam 8.15 pagi dari Stadium Mini Seksyen 13 dan berakhir di Stadium Malawati. Hujan lebat yang turun sebelum perarakan tidak melunturkan semangat peserta2 perarakan. DYMM Sultan Selangor turut berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan berkenan merasmikan Majlis dan melancarkan Bulan Dakwah Negeri Selangor 1431H/2010M.Pelbagai persembahan dan anugerah khas telah diadakan.dan baginda Sultan telah berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang perarakan dan penerima anugerah khas Maulidur Rasul.

Thursday, February 18, 2010

KAJIAN LAPANGAN RIVER RANGER JKKK SG UDANG

Satu kajian lapangan kualiti air sungai telah dijalankan oleh River Ranger JKKK Sg Udang pada 16 Februari 2010 jam 9.00 pagi bermula di Parit Jalan Melawis, Taman Pengkalan Batu dan berakhir di Kunci Air Benteng, Sungai Berteh. Seramai 11 ahli dan anak-anak ahli menyertai kajian ini. Anak-anak ahli telah diberi pendedahan dan penjelasan bahawa betapa pentingnya peranan sungai terhadap masyarakat sekaligus meningkatkan kesedaran komuniti supaya dapat bersama-sama menjaga kebersihannya.

Thursday, February 11, 2010

TAKLIMAT DAN PERBINCANGAN BERSAMA AGENSI KERAJAAN

Satu taklimat, perbincangan dan pembentangan kertas kerja infra dan pembangunan akan diadakan di Balai JKKK Kampung Delek pada 12 Februari 2010 jam 9.00 pagi. Taklimat in akan dihadiri oleh YB Dr Hajjah Halimah bt Ali selaku ADUN Selat Klang bersama-sama JKKK Kampung Sungai Udang, JKKK Kampung Telok Gadong dan JKKK Kampung Delek. Manakala agensi2 kerajaan yang akan menyertai adalah pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai dari MPK, JPS, JKR, Pejabat Daerah/Tanah Klang dan Syabas. Banyak perkara yang akan diperbincangkan terutamanya mengenai infra: parit longkang, jalan raya dan pelbagai masalah lain. Program ini dijangka akan berlarutan sehingga ke tengahari.

MESYUARAT SUSULAN RIVER RANGER

Satu mesyuarat susulan program River Ranger telah diadakan di Jabatan Perancang Bandar MPK pada 10 Feb 2010 jam 10.00 pagi. JKKK Sungai Udang diwakili oleh Ketua Kampung Sg Udang, Tn Hj Samsuri bin Othman dan Bendahari JKKK, Tn Hj Abd Azis b Baharom. Antara pengisian mesyuarat ialah saranan untuk mengadakan satu sesi kajian lapangan pada masa yang terdekat dan sesi gotong royong pembersihan parit dan longkang sebelum Karnival Sungai pada 13 dan 14 Mac 2010. Justeru itu, JKKK Sungai Udang mengalu-alukan penglibatan ahli masyarakat setempat untuk menjayakan program yang dinyatakan.

Friday, January 29, 2010

PENUBUHAN PASUKAN BOMBA SUKARELA

Satu perjumpaan JKKK Sungai Udang dengan Ketua Balai Bomba Klang Selatan, Tuan Japari Tajudin telah diaadakan di pejabat beliau pada 29 Januari 2010. Tujuan perjumpaan itu adalah untuk membincangkan penubuhan pasukan bomba sukarela di Kampung Sungai Udang. Pasukan bomba sukarela ini perlu diwujudkan memandangkan kepadatan penduduk serta rumah-rumah dan premis-premis perniagaan bagai cendawan tumbuh di Kampung Sungai Udang dewasa ini. Antara initipati perbincangan itu adalah cadangan untuk menggabungkan 3 kampung yakni Kampung Sungai Udang, Kampung Delek dan Kampung Teluk Gadong bagi penubuhan satu pasukan bomba sukarela. Perjumpaan seterusnya akan diadakan pada masa akan datang setelah mendapat kata putus dari ketiga-tiga Kampung yang dinyatakan.

Sunday, January 24, 2010

PROGRAM PENDIDIKAN KOMUNITI-RIVER RANGER SUNGAI KLANG

Bertempat di Auditorium Majlis Perbandaran Klang 24 Januari 2010 telah diadakan Program Pendidikan Komuniti - River Ranger Sungai Udang. JKKK Sungai Udang telah menghantar 8 orang peserta ke Program yang bermula jam 8.30 pagi . JKKK Kg Delek dan JKKK Sg Pinang Bandar juga terlibat didalam Program ini. Kami telah di bawa ke Kampung Budiman, Meru untuk kajian lapangan dan seterusnya ke kampung masing-masing untuk tujuan yang sama. Objektif Program ini diadakan ialah untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pengurusan sungai. Kumpulan River Ranger ditubuhkan bagi menyokong aktiviti pemantauan lembangan Sungai Klang dan penglibatan komuniti dalam Projek Pemulihan Sungai Klang. Program yang diadakan sehari amat mencabar kerana cuaca yang agak panas tetapi kami mendapat kepuasan kerana kajian yang dijalankan menyedarkan kami betapa pentingnya sungai dalam kehidupan masyarakat. Program ini berakhir sekitar jam 6 petang setelah semua info yang diperolehi diprogramkan ke komputer. Sila layari laman web: www.sungaiudangriverranger.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

MESYUARAT SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1431H

Mesyuarat sambutan Mauliddur-Rasul peringkat kariah Kg Sungai Udang telah diadakan pada 23 Januari 2010 jam 9.40 malam di Bilik Mesyuarat Masjid Darul Muttaqin. Sambutan ini akan diadakan pada 6 Mac 2010. JKKK Sungai Udang turut menyertai mesyuarat tersebut dan beberapa ahli telah terpilih untuk mengisi portfolio sekaligus menjayakan sambutan yang akan diadakan. Mesyuarat susulan akan diadakan pada 29 Januari 2010.

Friday, January 15, 2010

KONVENSYEN WANITA NEGERI SELANGOR

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) akan menganjurkan Konvensyen Wanita Negeri Selangor pada 23 Januari 2010 hari Sabtu jam 9.00 pagi di Dewan Kompleks Belia Seksyen 7, Shah Alam. JKKK Sungai Udang, Klang akan menghantar 4 orang wakil wanita untuk menghadiri konvensyen tersebut.

PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA

Program gotong royong perdana Kawasan Zon Bersih MPK & majlis penyampaian hadiah pertandingan kebersihan premis-premis makanan MPK dengan kerjasama Kumpulan Panasonic akan diadakan pada 16 Januari 2010 hari Sabtu jam 7.30 pagi bertempat di Jalan Berangan, Port Klang. YAB Dato' Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim akan merasmikan program ini. JKKK Sungai Udang, Klang akan menghantar13 orang peserta bagi menjayakan program ini. Program ini dijangka berakhir pada jam 12.00 tengahari.

Saturday, January 9, 2010

kursus jahitan anjuran biro wanita JKKK Sg Udang

Kursus jahitan anjuran Biro Hal Ehwal Wanita akan diadakan selewat-lewatnya pada akhir bulan Januari 2010. Minima 20 orang peserta wanita akan memulakan pakej pertama kursus ini. Kursus adalah percuma, mesin jahit disediakan. Untuk maklumat lanjut sila hubungi urusetia Biro Wanita JKKK Sg Udang di talian 019-3156351 (Puan Nor'aini)